Wednesday, April 8, 2009

Sikap JUJUR & USAHA

Jujur kepada tindakan dan usaha juga merupakan sikap yang amat bermakna. Kejujuran memberikan kekuatan biarpun memberi kesusahan kepada diri sendiri. Kisah seorang kanak-kanak yang terpilih menjadi pengganti maharaja ini boleh membuatkan kita berfikir betapa pentingnya kejujuran.Seorang maharaja di negara sebelah Timur semakin meningkat umur dan sudah sampai masanya untuk memilih pengganti yang layak bagi memerintah kerajaannya. Baginda membuat keputusan untuk membuka pencalonan kepada rakyatnya di seluruh negara dan tidak mempedulikan penolong atau anak-anaknya sendiri. Maharaja ini mahu melakukan sesuatu yang berbeza!Pada suatu hari, baginda memanggil anak-anak muda yang pintar, cerdas dan terpilih datang ke taman istana kerana mahu melihat bakal-bakal pewaris takhta. Katanya,“Sudah sampai masanya beta turun dari takhta dan memilih maharaja yang baru. Beta telah merancang untuk memilih salah seorang daripada kamu yang ada di sini, wahai anak-anak muda.”Kanak-kanak ini terkejut!Tetapi maharaja meneruskan titahnya.“Beta akan memberi anak benih kepada kamu semua pada hari ini ... sangat istimewa. Beta mahu kamu menanam biji benih ini, siram dengan air dan jaga betul-betul. Setahun dari sekarang, kamu datang semula ke sini. Beta akan memilih tanaman yang kamu bawa dan beta juga akan memilih salah seorang daripada kamu untuk menjadi maharaja.”Seorang kanak-kanak yang bernama Ling sangat seronok menerima bijih daripada maharaja dan pulang ke rumah lalu menceritakan kepada ibunya apa yang harus dilakukan.Ibu menyediakan pasu bunga dan mencari tanah yang sesuai untuk mempastikan biji benih ini dapat tumbuh dengan baik.Setiap hari Ling akan menyiram pasu bunga dan hatinya sentiasa teruja untuk melihat biji benih tadi tumbuh.Tiga minggu telah berlalu, kawan-kawannya yang lain mula bercakap mengenai biji benih masing-masing yang mula tumbuh. Ling sentiasa memeriksa biji benihnya tetapi tidak ada tanda-tanda hendak membesar atau mengeluarkan tunas.Tiga minggu, empat minggu, lima minggu telah berlalu tetapi tidak ada apa-apa.Sehingga sekarang, rakan-rakannya yang lain bercakap tentang pokok masing-masing yang telah membesar, merimbun dan sangat cantik tetapi Ling telah menyalahkan dirinya kerana membunuh biji benih maharaja. Dia menyesal.Enam bulan berlalu, Ling masih terkial-kial dan berasa malu dengan rakan-rakan setiap kali ditanya apa yang berlaku pada pokoknya. Ling diam sahaja tetapi terus berharap ada pokok yang akan tumbuh nanti.Sampai genap setahun, anak-anak muda yang diberi tugasan oleh maharaja perlu kembali mengadap baginda untuk mempersembahkan hasil masing-masing. Ling memberitahu ibunya yang dia keberatan untuk pergi kerana pasu bunganya kosong, biji benih tak mahu hidup!Seorang ibu yang baik menasihati anaknya. “Pergilah, awak mesti jujur dan beritahu apa yang telah berlaku”. Ling tahu ibunya betul lalu dia mengambil pasu bunga dan beredar ke istana maharaja.Apabila Ling sampai ke taman istana, dia terkejut kerana melihat pelbagai jenis pokok yang berwarna-warni. Cantik dan menarik. Ling meletakkan pasu bunganya yang kosong.Kah! Kah! Kah! Semua rakannya ketawa. Mana pokoknya?Ling menundukkan kepala dan mulai risau apabila maharaja berangkat untuk melihat hasil bakal maharaja, pemegang amanah negara. Dia memilih untuk berada di belakang rakan-rakannya yang lain kerana takut maharaja murka.Apabila berada di hadapan pokok bakal maharaja, baginda terkejut. “Pokok apa yang telah kamu tanam ni, macam-macam jenis. Tapi tak mengapa. Hari ini beta akan memilih bakal pengganti beta.”Semua pasu bunga bakal maharaja ada pokok masing-masing kecuali Ling. Dari celah-celah rakan-rakannya, Ling dipanggil ke hadapan oleh Maharaja.Hati Ling semakin bergetar. “Mahu aku dibunuhnya kerana aku telah gagal!”“Siapa nama kamu?” tanya Maharaja.“Ling.” Ketika ini rakan-rakannya mula ketawa. Lucu.Maharaja mula merah mukanya dan meminta semua sekali diam. Bukan masanya untuk berjenaka dan bergelak ketawa.Baginda melihat ke arah Ling dan membuat pengumuman kepada yang hadir.“Inilah maharaja yang baru, namanya Ling!”Ling tidak percaya. Macam mana dia boleh menjadi maharaja? Biji benihnya tak pernah tumbuh?Maharaja seorang yang bijak. “Setahun yang lalu, beta telah memberi setiap orang bakal pengganti beta sebiji benih. Beta menyuruh kamu menjaga biji benih ini dengan baik, menyiramnya dan bawa balik kepada beta pada hari ini. Tetapi tahukah kamu apa jenis biji benih tersebut? Ia telah dimasak dengan air panas dan tidak akan tumbuh. Apabila kamu dapati biji benih ini tidak tumbuh, kamu gantikan dengan yang lain. Jadi, pada hari ini hanya Ling seorang yang berani membawa pasu bunga kosong kepada beta. Oleh itu, beta memilih Ling sebagai maharaja baru!
”Jika menanam kejujuran, kamu akan mendapat kepercayaan.
Jika menanam kebaikan, kamu akan mendapat persahabatan.
Jika menanam kemanusiaan, kamu akan mendapat penghormatan.
Jika menanam ketekunan, kamu akan mendapat kemenangan.
Jika menanam pertimbangan, kamu akan mendapat keharmonian.
Jika menanam kuat bekerja, kamu akan mendapat kejayaan.
Jika menanam kemaafan, kamu akan mendapat keakraban.
Jika menanam kesabaran, kamu akan mendapat kekuatan dalaman.
Jika menanam keimanan, kamu akan mendapat syurga.
Jika menanam penghinaan, kamu akan mendapat pembelotan.
Jika menanam kepentingan diri, kamu akan mendapat kesepian.
Jika menanam bangga diri, kamu akan mendapat kekecewaan.
Jika menanam kemalasan, kamu akan mendapat kebuntuan.
Jika menanam permusuhan, kamu akan mendapat pemencilan.
Jika menanam ketamakan, kamu akan mendapat kerugian.
Jika menanam fitnah, kamu akan mendapat musuh.
Jika menanam kebimbangan, kamu mendapat kekedutan di wajah.
Jika menanam dosa, kamu akan mendapat neraka.

No comments:

Post a Comment